SEPANG – Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) akan melaksanakan Latihan Kecemasan Aerodrom Ex Perisai Panthera 2026, iaitu latihan kecemasan berskala penuh di Landasan 2, pada 14 Oktober 2026, dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan KLIA untuk memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, latihan berskala penuh ini akan menguji keupayaan tindak balas, pematuhan terhadap tempoh masa yang ditetapkan serta keberkesanan koordinasi antara pasukan terlibat. Latihan ini dilaksanakan bersama agensi keselamatan dan kecemasan negara serta rakan strategik, selaras dengan Pelan Kecemasan Aerodrom KUL (KUL AEP) dan piawaian keselamatan penerbangan antarabangsa.
Untuk makluman, latihan ini akan melibatkan penggunaan jentera bomba, helikopter, asap simulasi dan siren. Aktiviti tersebut mungkin dapat dilihat atau didengar dari sekitar Anjung Spotter dan Jalan Pekeliling. Semua pergerakan dan aktiviti tersebut telah dirancang dan dikawal sebagai sebahagian daripada latihan, dan orang awam dinasihatkan supaya tidak bimbang.
Operasi penerbangan di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 dijangka berjalan seperti biasa. Sebarang perkembangan berkaitan operasi lapangan terbang akan dimaklumkan melalui saluran media sosial rasmi KLIA.
