SEPANG - Usaha memperkasa komuniti setempat terus dipertingkat melalui Majlis Penyerahan Sumbangan dan Pembangunan Usahawan Komuniti di bawah inisiatif MYAirportCARES Santuni MADANI, yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran, keusahawanan serta kelestarian pendapatan bagi penduduk sekitar Sepang. Program tanggungjawab sosial korporat ini melibatkan komuniti dari Kampung Bukit Bangkong (Tradisi dan Asli), Kampung Hulu Chuchoh dan Kampung Hulu Teris, dan dilaksanakan secara berfasa sejak Ogos 2025 melalui pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti serta sokongan keusahawanan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Hajah Aiman Athirah Binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang, sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif pembangunan komuniti yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato’ Mohd Izani Ghani berkata, “Sebagai pengendali lapangan terbang negara, peranan kami tidak terhad kepada menyediakan kemudahan perjalanan udara semata-mata. Kami juga percaya bahawa kejayaan sesebuah organisasi perlu turut memberi manfaat kepada komuniti di sekelilingnya.”
Beliau menambah bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dalam menyokong aspirasi Malaysia MADANI melalui pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan.
Sepanjang tempoh tersebut, seramai 32 peserta telah mengikuti kelas pembuatan kek dan pastri dengan kerjasama Sama-Sama Hotel KLIA, selain latihan kemahiran digital bersama AIDAQ Services Corporation yang memberi pendedahan kepada pemasaran digital dan asas perniagaan. Peserta turut dibimbing dalam penyediaan cadangan perniagaan yang berdaya maju sebagai persediaan mendapatkan sokongan pembiayaan.
Kemuncak program ini menyaksikan seramai 12 penerima layak menerima sumbangan pembangunan usahawan berjumlah RM50,000, dalam bentuk peralatan perniagaan dan latihan kemahiran, bagi menyokong permulaan serta pengembangan perniagaan masing-masing.
Program ini bertujuan meningkatkan kebolehupayaan ekonomi komuniti melalui pendedahan kepada platform e-dagang, penyediaan modal asas perniagaan serta akses kepada latihan kemahiran yang relevan. Ia juga mengukuhkan peranan Malaysia Airports sebagai rakan strategik dalam pembangunan komuniti setempat.
Melalui pendekatan bersepadu ini, MYAirportCARES Santuni MADANI bukan sahaja membantu meningkatkan taraf ekonomi peserta, malah berpotensi memberi inspirasi kepada lebih ramai anggota komuniti untuk meneroka peluang keusahawanan secara mampan.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan sumbangan di bawah inisiatif MYAirportCARES Santuni MADANI bagi tahun 2025 mencecah lebih RM217,000, merangkumi pelbagai program termasuk bantuan persekolahan, inisiatif Ramadan, pembangunan infrastruktur komuniti serta latihan kemahiran.
Malaysia Airports akan terus komited dalam melaksanakan inisiatif pembangunan komuniti yang memberi impak jangka panjang, selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan sosial dan ekonomi di kawasan sekitar operasinya.