SHAH ALAM – Lebih 20 agensi awam dan swasta berganding bahu dalam Latih Amal Ex Urban Falcon 2026, latihan simulasi kemalangan udara berskala penuh pertama di Malaysia yang dilaksanakan di luar lingkungan lapangan terbang bagi menguji kesiapsiagaan dan koordinasi agensi sekiranya berlaku nahas pesawat di luar perimeter operasi lapangan terbang. Program ini merupakan antara pengisian utama Program Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026 bertemakan "Integrasi Perkasa, Aspirasi Nusa".
Majlis perasmian telah disempurnakan hari ini oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Jubli Perak, manakala latihan simulasi ini akan berlangsung esok, 16 Julai 2026, di kawasan berhampiran Rehat & Rawat (R&R) Denai Alam (Arah Barat), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
Latih amal ini, yang melibatkan 450 peserta daripada agensi awam dan swasta yang kritikal kepada operasi penyelamatan bencana udara, dianjurkan bersama melalui kerjasama strategik di antara Malaysia Airports dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, dan PROLINTAS-DASH.
Penganjuran julung kali latihan luar lingkungan lapangan terbang yang dikenali sebagai senario “aircraft accident off airport” ini terbahagi kepada dua fasa. Fasa pertama melibatkan Tabletop Exercise bertempat di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah. Seterusnya fasa kedua pula merupakan Full Scale Exercise yang dilaksanakan di kawasan bersebelahan R&R Denai Alam.
Agensi-agensi lain yang turut terlibat pada kali ini adalah seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dari Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN), Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor, Malaysia Aviation Group, Persekutuan Pengakap Malaysia, syarikat penerbangan serta beberapa agensi kerajaan dan swasta yang lain.
Objektif utama latihan ini adalah menilai tahap kesiapsiagaan, koordinasi dan tindak balas agensi berdasarkan Pelan Kecemasan Aerodrom (AEP), Arahan NADMA No.1 dan Manual Mencari dan Menyelamat Aeronautika dan Maritim Kebangsaan (NAMSAR).
Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato’ Mohd Izani Ghani, “Latih Amal Bencana Udara Ex Urban Falcon membawa kesiapsiagaan kami ke tahap baharu melalui simulasi skala penuh di luar lapangan terbang. Inisiatif ini kritikal untuk menguji koordinasi bersepadu bersama agensi luar, yang secara tidak langsung memperkukuh daya tahan sistem tindak balas kecemasan. Ia membuktikan komitmen jitu Malaysia Airports terhadap keselamatan penumpang serta kesejahteraan komuniti setempat”.
Sepanjang latihan berlangsung, pelbagai elemen simulasi dilaksanakan di sekitar kawasan R&R Denai Alam, termasuk kehadiran kenderaan kecemasan, asap, replika pesawat dan bunyi siren. Hebahan awal mengenai latihan turut dibuat menerusi media massa, media sosial dan saluran komunikasi rakan strategik bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pelaksanaan latihan.
Ex Urban Falcon 2026 mencerminkan komitmen berterusan Malaysia Airports bersama rakan-rakan strategik dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang kemungkinan bencana udara melalui latihan bersepadu, penambahbaikan berterusan dan kerjasama antara agensi.