SEPANG – Malaysia Airports hari ini mengumumkan kejayaan kempen pertama “MASB Belanja & Menang”, yang berjaya merekodkan hampir 1.9 juta transaksi di 14 lapangan terbang domestik sepanjang tempoh kempen dari 1 Ogos hingga 31 Disember 2025.
Sebagai kempen membeli-belah pertama yang dilaksanakan merentasi rangkaian lapangan terbang domestik Malaysia Airports, “MASB Belanja & Menang” diperkenalkan bagi menggalakkan aktiviti membeli-belah dan menjamu selera di lapangan terbang, di samping memberi ganjaran kepada para pengunjung yang berbelanja di mana-mana premis perniagaan di lapangan terbang yang mengambil bahagian.
Kempen ini melibatkan 14 lapangan terbang domestik di bawah rangkaian Malaysia Airports termasuk Alor Setar, Bintulu, Kota Bharu, Labuan, Miri, Sandakan, Kuala Terengganu, Tawau, Ipoh, Kuantan, Lahad Datu, Limbang, Mukah dan Sibu. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Malaysia Airports untuk memperkukuh peranan lapangan terbang domestik sebagai pemangkin aktiviti ekonomi setempat, di samping meningkatkan pengalaman pengunjung di seluruh negara.
Menurut Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial Malaysia Airports, Hani Ezra Hussin, “Kempen ‘MASB Belanja & Menang’ membuktikan bahawa lapangan terbang domestik bukan sekadar hab perhubungan, malah memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi setempat melalui aktiviti komersial. Pencapaian ini mencerminkan potensi besar rangkaian lapangan terbang domestik dalam merancakkan perniagaan, mewujudkan peluang kepada pengusaha tempatan serta memperkayakan pengalaman pengunjung. Kami berharap kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat kepada para pengunjung, rakan niaga dan komuniti yang kami berkhidmat.”
Pada majlis yang sama, Malaysia Airports turut mengumumkan para pemenang utama kempen “MASB Belanja & Menang” yang dipilih daripada hampir 9,700 penyertaan yang diterima sepanjang tempoh kempen. Yanti Binti Samadi dari Sarawak telah memenangi hadiah utama berupa sebuah Perodua Axia SE, diikuti Teh Swee Peng dari Brunei yang membawa pulang sebuah motosikal CMC Daytona 350 sebagai hadiah kedua, manakala Azsharye Bin Johari dari Sarawak memenangi hadiah ketiga berupa pakej percutian lengkap ke Langkawi.
Melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan, Malaysia Airports berhasrat untuk meneruskan kempen “MASB Belanja & Menang” pada tahun ini dengan menawarkan hadiah dan ganjaran yang lebih menarik. Usaha ini akan terus menjadi platform penting untuk merangsang aktiviti komersial, menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan dan memperkukuh peranan lapangan terbang domestik sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pelancongan negara.