Contact Us

Mobile App

EN
AirportsCorporate
Logo
BELANJA & MENANG 2026 KEMBALI DENGAN GANJARAN MENARIK, KINI DIPERLUAS KE LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA
08 SEP 26

SEPANG – Susulan kejayaan edisi pertama yang merekodkan hampir 1.9 juta transaksi di 14 lapangan terbang domestik, kempen Belanja & Menang 2026 kini kembali dengan penyertaan yang turut dibuka buat pertama kali di lapangan terbang antarabangsa di bawah rangkaian Malaysia Airports iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu. Kempen ini akan berlangsung dari 1 September hingga 31 Disember 2026.

Pelaksanaan Belanja & Menang 2026 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia Airports untuk memperkukuh penawaran komersial di lapangan terbang serta menjadikan pengalaman membeli-belah dan menjamu selera lebih menarik dan bernilai kepada penumpang dan pengunjung. Penyertaan lapangan terbang antarabangsa tahun ini juga membolehkan pengalaman dan ganjaran kempen dinikmati oleh lebih ramai pengguna di seluruh rangkaian.

Tahun ini, Malaysia Airports turut bekerjasama dengan Traveloka, platform pelancongan terkemuka di Asia Tenggara, sebagai rakan strategik dengan menawarkan pakej percutian sebagai sebahagian daripada hadiah kempen. Kerjasama ini menghubungkan pengalaman membeli-belah di lapangan terbang dengan pengalaman perjalanan dan percutian, sekali gus memberikan nilai tambah kepada para pemenang.

Hadiah bernilai keseluruhan RM215,600 ditawarkan menerusi kempen ini, termasuk Proton e.MAS 7 Prime, motosikal KTM Duke 390, jongkong emas dan pakej percutian Traveloka. Selain hadiah utama, lima pemenang akan dipilih setiap bulan untuk menerima hadiah wang tunai berserta pakej percutian Traveloka sepanjang tempoh kempen.

Menurut Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial Malaysia Airports, Hani Ezra Hussin, “Pencapaian Belanja & Menang tahun lalu membuktikan bahawa penawaran komersial yang relevan dan menarik dapat memberi nilai tambah kepada pengalaman di lapangan terbang. Selain lapangan terbang domestik, tahun ini kami memperluas kempen ini ke beberapa lapangan terbang antarabangsa selain Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA bagi membolehkan lebih ramai pengunjung mengambil bahagian. Kempen ini juga selari dengan usaha kami yang lebih luas untuk mewujudkan pengalaman runcit yang lebih tersendiri dan relevan, dengan penawaran serta pilihan yang lebih mencerminkan corak perjalanan dan perbelanjaan semasa.”

Untuk menyertai, penumpang dan pengunjung hanya perlu berbelanja minimum RM25 dalam maksimum dua resit di lapangan terbang domestik yang mengambil bahagian. Bagi lapangan terbang antarabangsa yang mengambil bahagian, perbelanjaan minimum ialah RM50 dalam maksimum dua resit. Penyertaan boleh dibuat dengan mengimbas kod QR atau mengisi borang penyertaan dengan menyertakan resit pembelian.

How can we help?